Menara Jam Diraja Mekah Mendapat "SENTUHAN" ANAK MELAYU DAN MALAYSIA

loading...
"SENTUHAN" ANAK MELAYU DAN MALAYSIA DI MEKAH

Dengan berketinggian 601 meter, Menara Jam Diraja Mekah (Royal Clock Tower of Mecca) atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw, Poland, dan menara jam Ann-Bradley di Milwaukee,Wisconsin, Amerika Syarikat.



Ia juga bersaiz tiga kali lebih besar daripada menara Big Ben di London dan disifatkan sebagai “Miracles of Modern Engineering”. Tahukah anda bahawa struktur menara jam tersebut mempunyai “sentuhan” anak Malaysia? Wan Nazri Wan Aria, merupakan jurutera kelahiran Malaysia yang bekerja di syarikat Jerman, SL Rasch, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.

Bagi tujuan pembinaan menara jam yang tersergam indah di hadapan Masjidil Haram itu, kerjasama di antara teknologi Jerman dari syarikat SL Rasch dan tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology yang berpangkalan di Dubai telah dijalankan bagi menyokong jam gergasi itu yang memerlukan teknologi “lightweight steel structure”.

Apa yang menariknya, 14 tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda Malaysia. Justeru, projek pembinaan Menara Jam Diraja Mekah ini boleh diibaratkan sebagai “pertembungan” di antara anak Malaysia yang bekerja di rantau orang.

Jam gergasi yang dihiasi dengan replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu. Ikon baru kota suci Mekah ini dapat membantu para jemaah bagi mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi. Ia juga menempatkan hotel, pusat beli-belah, muzium dan pusat persidangan. Secara keseluruhannya, Menara Jam Diraja Mekah ini dianggarkan bernilai sebanyak US$3 billion.

MENGENAI WAN NAZRI WAN ARIA

Wan Nazri Wan Aria ialah seorang multi millionaire dan disifatkan sebagai “A Living Malaysian Legend. Berusia 35 tahun dan dilahirkan di Melaka, beliau berasal dari keluarga yang susah dan mereka tinggal di sebuah bandar yang kurang membangun di kota Kuala Lumpur. Beliau menerima pendidikan awal di sebuah sekolah di Segambut dan kemudiannya menyambung pelajaran beliau di dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2002.



Selepas itu, beliau mula bekerja di sebuah syarikat tempatan sebagai seorang jurutera. Ketika beliau berusia 25 tahun, Wan Nazri mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan bagi melanjutkan pelajarannya ke peringkat Master di Universiti Stuttgart, Jerman dengan menggunakan duit simpanannya sendiri. Beliau memilih negara Jerman kerana beliau merasakan di situlah tempat yang paling utama dan mencabar di dunia ini untuk menjadi seorang “engineer”. Wan Nazri berpegang teguh dengan prinsip, "all successful people had their turning point some point in life. We just have to make ours”.

Walaupun pada mulanya pemuda ini tidak mampu bertutur dalam bahasa Jerman, namun sifat juang yang tinggi yang berada di dalam diri beliau telah mendorongnya untuk belajar bahasa tersebut. Pengalaman menuntut ilmu di negara Jerman merupakan antara saat yang paling mencabar buat jurutera ini kerana bidang kejuruteraan adalah suatu bidang yang sukar apatah lagi pelajaran di peringkat master, ditambah pula kesemua kuliah diajar di dalam bahasa Jerman iaitu bahasa yang cukup asing buatnya.



Ternyata, pemilik nama Wan Azri Wan Aria ini bukanlah seorang insan yang lemah, beliau berjaya mengharungi segala pahit getir tersebut apabila lulus dengan cemerlang di peringkat Master. Usai sahaja tamat pengajian beliau, Wan Nazri telah menerima banyak tawaran dari pelbagai syarikat besar di Jerman terutamanya di dalam industri automobil.

Walaubagaimanapun, beliau telah menolak kesemua tawaran tersebut disebabkan minat beliau kepada bidang Structural Engineering. Oleh yang demikian, Wan Nazri telah memohon kerja di sebuah syarikat Jerman yang yang cukup masyur di dalam bidang itu, bernama SL Rasch.

Tetapi untuk bergelar seorang jurutera di syarikat SL Rasch bukanlah suatu perkara yang enteng. Pada mulanya, syarikat berkenaan tidak minat untuk mengambil Wan Nazri kerana mereka kurang yakin akan kebolehan seorang jurutera “non-German” atau “non-European”.

Dek sifat nasionalisme mereka yang sangat membara, mereka percaya bahawa bangsa Jerman lah bangsa yang paling mahir di dalam bidang kejuruteraan di dunia ini sehingga tiada tolok bandingannya.

Ibarat kata pepatah,”tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”, begitu jualah dengan tuah yang menimpa Wan Nazri. Di sebalik sifat ragu-ragu yang dimiliki oleh “the management team” syarikat SL Rasch, bos besar syarikat itu telah terbuka hatinya untuk memberi peluang kepada Wan Nazri. "Impress me in 6 months or you have to go", itulah kata-kata keramat yang diluahkan oleh bakal majikannnya kepada beliau.

Menyahut cabaran itu, Wan Nazri telah mereka satu “design” menara jam bagi projek Menara Jam Diraja Mekah di Arab Saudi dan rekaannya itu telah dihantar oleh syarikat SL Rasch kepada kerajaan Arab Saudi untuk memenangi tender projek berkenaan. Kerajaan Arab Saudi amat tertarik dengan lakaran yang direka oleh Wan Nazri dan syarikat SL Rasch berjaya mendapatkan tender membina menara jam diraja Mekah itu.

Dengan kejayaan ini, Wan Nazri telah menerima ucapan, “You are hired” oleh “the big boss of SL Rasch”. Wan Nazri dipertanggungjawabkan sebagai ketua konsultan untuk projek berkenaan bagi mengawasi pembinaannya dari A - Z.

Apabila mengetahui bahawa latar belakang Wan Nazri sebagai seorang yang berbangsa Asia, terdapat segelintir jurutera dari bangsa Arab yang sangat skeptikal terhadap kemampuan beliau. Tetapi memandangkan Wan Nazri bekerja di sebuah syarikat Jerman, beliau menjadi sangat dihormati, apatah lagi memperlihatkan kecekapan dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau.

Sehinggakan, ada pula syarikat besar di negara Arab yang sanggup menawarkan gaji ratusan ribu sebulan untuk memancing beliau bekerja dengan mereka. Wan Nazri berkata, beliau berasa amat bangga apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang telibat dengan kerja pembinaan mercu tanda terbaru yang terletak di tengah kota tanah suci itu.

Kini, Wan Nazri Wan Aria mempunyai satu lagi impian. Iaitu untuk membantu jurutera-jurutera baru di Malaysia bagi melatih dan mengetengahkan mereka di peringkat dunia. Sasarannya bukanlah para jurutera senior yang berpengelaman tetapi anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian dan mempunyai potensi yang besar.

Wan Nazri percaya, seorang “world player” tidak akan pernah lupa kembali ke negara asal untuk membantu anak bangsa sendiri. Kata beliau, “Bos saya di syarikat SL Rasch telah membuka pintu untuk saya, jadi saya juga akan membuka pintu buat anak muda yang lain. Saya hanya mengenang budi”.

Soalan yang sering kali ditanya kepada beliau oleh rakyat Malaysia adalah, “Encik Wan, boleh cakap Bahasa Melayu tak?” Wan Nazri pantas menjawab, “Sudah tentu! Kerana saya ialah orang Melayu”. Sememangnya Wan Nazri Wan Aria is a brilliant guy. Absolutely brilliant! - sumber asal : Bernama
loading...