GELARAN 'MULUT PUAKA' RAMLI MS AKHIRNYA 'BUKA MULUT' - ISU ELLY MAZLEIN

loading...
GELARAN 'MULUT PUAKA' RAMLI MS AKHIRNYA 'BUKA MULUT' - ISU ELLY MAZLEIN

Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Datuk Ramli MS atau Tok Ram ini 'membuka mulut' mengenai isu dirinya yang mencetuskan gunung berapi yang laharnya masih membara apabila menggunakan perkataan 'ihsan' terhadap persembahan Elly Mazlein pada minggu keempat Gegar Vaganza 3 (GV3). 


Ketika ditemui dan di saat diasak mengenai isu tersebut, Ramli MS pada mulanya hanya tersenyum dan memilih untuk tidak menjawab atau cuba menjadi defensif. 

Bagaimanapun Datuk Ramli MS masih terus mengulangi tiga kata keramat yang dilontarkan. 

"Jangan main bangsawan" kata Datuk Ramli MS menyimpulkan prahara yang dicetuskan beliau hujung minggu lalu. 

Jelas Datuk Ramli MS yang juga merupakan 'kepala' bagi kebanyakan anugerah berprestij dalam negara sejak lebih 10 tahun lalu, apabila beliau membuat penjurian dalam program nyanyian, hal yang diberi keutamaan adalah vokal dan kreativiti penyanyi memecahkan kepompong selesa mereka. Ini kerana menurutnya, beliau tidak boleh prejudis atau meletakkan dirinya dalam dua kategori yang selalu membuat khalayak kurang rasional. 

"Beginilah, setiap kali seseorang peserta mula memegang mikrofon dan menyanyi, itu adalah satu bisnes yang serius buat saya. Bunyi tidak pernah menipu. Sebab itu saya katakan, di atas pentas seperti Gegar Vaganza, jangan main bangsawan dengan saya. Apabila saya katakan seseorang peserta itu tidak bagus, itu bermaksud tidak bagus dalam liganya sendiri. 

"Bukan saya bandingkan dengan pendatang baharu misalnya, kerana penyanyi lama sudah ada ilmu dan roh dalam nyanyian mereka. Jadi sebagai seorang penyanyi lama, mereka tidak lagi boleh masuk dalam zon melakukan kesilapan teknikal kerana itu sudah menjadi makanan mereka. 

"Khalayak perlu faham. Saya melakukan penjurian terhadap lagu yang menjadi hierarki paling tinggi dalam sesebuah pertandingan kerana lagu mampu bertahan beribu tahun. Saya perlu memberi fokus terhadap vokal. 


"Saya tidak nafikan, suara adalah anugerah Tuhan, tetapi apa yang saya cari adalah bagaimana seseorang penyanyi meletuskan sensasi dalam setiap persembahan mereka dengan skil atau kreativiti yang membezakan mereka berbanding penyanyi asal. 

"Saya tidak boleh prejudis atau duduk dalam kelompok khalayak yang menilai penyanyi kerana dua perkara iaitu minat kepada personaliti penyanyi dan minat lagu yang disampaikan penyanyi. Hal ini kerana apa yang saya cari adalah intelektual yang digunakan penyanyi setiap kali beraksi," jelas Ramli MS. 

Ditanya mengenai kelancangannya sehingga ada yang melabelkan beliau 'mulut puaka' sejak sekian lama menjadi juri dalam pelbagai program, Datuk Ramli MS berkata jika beliau memasukkan unsur prejudis dalam penjurian, para peserta tidak akan mendengar sebarang kritikan atau komen daripadanya. 

"Beginilah, saya seorang yang berterus terang. Saya tidak cakap belakang atau suka memberi kiasan. Saya tidak pandai. Saya akan cakap telus apa yang saya mahu cakap. 

Tetapi bagaimana seseorang itu mengambil kata-kata saya secara positif atau sebaliknya. 

"Sudah lama saya menjadi juri atau melakukan tanggungjawab mengkritik. Tetapi saya juga mahu tanya, adakah pernah kritikan saya yang dikatakan tidak sensitif atau mengaibkan seseorang sehingga membunuh karier mereka? Tanya kepada para peserta, apakah pelajaran yang mereka peroleh jika mengambil kritikan saya secara positif? 

"Saya tidak boleh mengubah pemikiran seseorang yang mahu menjadikannya negatif, walhal apa yang saya lontarkan adalah satu hal positif yang perlu diambil untuk mempertingkatkan diri kerana pada akhirnya, ilmu itu adalah untuk mereka, bukan untuk saya. 

"Sebab saya adalah orang yang jika saya betul-betul tidak suka, saya akan diam. Jadi kalau khalayak mahu menilai sama ada saya sedang melakukan penjurian dengan emosi bukannya profesional, perhatikan apabila saya tidak punya sebarang komen untuk dikongsi," ujar pelaku seni kelahiran Singapura ini yang mengaku sudah banyak bertoleransi atau mengurangkan kadar 'mulut puakanya' berbanding 12 tahun lalu. 

Malah sewaktu ditanya adakah beliau mempunyai masalah sekiranya pihak produksi GV mahu mengembalikan Elly bersaing dalam program tersebut sebagai sebuah pengisian sensasi pada masa akan datang, pantas beliau menggeleng kepala. 

Katanya tegas: "Saya langsung tidak ada masalah kerana tetap akan menjalankan tugas yang sama. Bukan saja Elly, kalau produksi mahu memasukkan semula Zul Handy Black (peserta musim kedua GV) pun, saya tidak ada masalah". 

Dalam pada itu, Datuk Ramli MS menyifatkan penyanyi yang baik adalah penyanyi yang mampu memperkembangkan skil, bukannya menjadi parrot atau burung bengkok paruh yang hanya meniru semula arahan. 

Beralih bicara kepada dirinya yang kini memiliki Instagram sejak 5 Oktober lalu, laman media sosial tersebut telah menjadi platform buat pembencinya meninggalkan pelbagai kata-kata yang menjengkelkan gara-gara kritikannya terhadap Elly. 

Sedar mengenai situasi tersebut, tegas Datuk Ramli MS beliau tidak bercadang untuk membalas apa lagi menutup Instagram dengan nama tokram_ramlims itu hanya kerana diserang dan dicaci. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Sementelah beliau menyifatkan apa yang dilakukan gerombolan pembenci itu sebagai fitrah manusia. 

"Biarlah, orang mahu meninggalkan kata-kata yang menjengkelkan atau apa saja di situ, saya tidak ambil peduli. Saya anggap itu sebagai fitrah manusia, jadi Instagram tersebut akan kekal," tuturnya. 

Menyentuh tentang isterinya, Alyah yang turut terkena tempias kemarahan serta kebencian khalayak kerana 'mulut puakanya', Datuk Ramli MS memberitahu yang beliau tidak mahu mencampuradukkan antara kisah rumah tangga dan profesionalismenya dalam bekerja. 

"Apa yang diluahkan Alyah kerana diserang peminat atau apa sahaja, saya tidak campur. Jika beliau mahu bertindak ke peringkat undang-undang, saya juga tidak akan menolong untuk membayar atau mendapatkan khidmat peguam buatnya. Ini kerana ia adalah berkaitan karier saya, bukan soal rumah tangga yang boleh dicampuradukkan," katanya menutup bicara. 

Sumber: Kosmo 
loading...